Thursday, January 06, 2011

PAS sebagai Gerakan Islam bukan Gerakan Politik semata-mata

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


Alhamdulillah, saya baru selesai menghabistontonkan video ucaptama pelancaran PAS Representative Council UK-Eire (PRC) di YouTube. Selepas selesai menonton, banyak rupanya sejarah silam tentang perjuangan menegakkan Islam di Tanah Melayu semenjak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah di mana kita berada sekarang selepas kemerdekaan negara; yang saya tidak ketahui dan tidak pernah dengar pun sebelum ini.


Pertama sekali, saya harap tulisan ini tidak ditafsirkan sebagai satu bentuk diskusi politik kepartian di Malaysia namun saya ingin mengajak anda semua untuk melihat atau sekurang-kurangnya mendapat gambaran tentang susur-galur perjuangan menegakkan Islam di Tanah Melayu dan Malaysia.


Apabila kita ingin membicarakan tentang susur-galur perjuangan ini, kita tidak dapat lari daripada satu entiti da'wah dan tarbiyyah yang acapkali dilihat semata-mata sebagai sebuah entiti politik iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Hakikatnya, PAS itu adalah sebuah gerakan Islam yang matlamat perjuangannya untuk menjadikan Islam itu memerintah.


PAS bukan semata-mata berorientasikan gerakan politik sebaliknya diseimbangkan dengan gerakan tarbiyyah untuk membina aqidah yang benar, pemikiran Islam yang jelas dan syakhsiyah yang soleh serta gerakan dakwahuntuk menyedarkan ummah agar kembali mengabdikan diri kepada Allah swt.


Saya harap bermula daripada titik ini dan seterusnya, anda yang membaca dapat melakukan sedikit anjakan paradigma (i.e. mengubah cara melihat sesuatu) dengan melihat PAS ini sebagai sebuah gerakan Islam yang perjuangannya telah bermula lama sebelum merdeka lagi.


Membuang Debu Di Atas Almari

Kalau boleh saya umpamakan, penulisan ini berhasrat untuk 'membuang debu-debu' yang selama ini tidak dipedulikan di atas almari. Jika dibiarkan, lama-kelamaan, debu-debu ini semakin menebal dan almari yang sebenarnya cantik kelihatan 'comot'.


Ramai orang termasuk diri saya sendiri telah berlaku tidak adil (i.e. tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya) apabila menyebut tentang PAS. Ramai orang termasuk saya sendiri telah melihat PAS sebagai almari yang berdebu itu. Tak perlulah saya senaraikan di sini apa bentuk tohmahan dan persepsi negatif yang diberikan kepada PAS. Masing-masing sudah maklum tentangnya.


Secara peribadi, saya tidak hairan jika yang melihat PAS sebagai 'almari yang berdebu' ini datang daripada golongan yang menentang perjuangan Islam atau golongan yang merasakan Islam itu hanya membawa kemunduran. Itu sudah lumrah; sunnatullah kepada da'wah zaman-berzaman, dari Nabi Nuh a.s hingga sekarang, pasti ada penentangan.


Apa yang menimbulkan kegusaran kepada saya (sekali lagi, secara peribadi) ialah apabila golongan yang inginkan Islam menang dan memerintah, golongan yang faham erti da'wah dan tarbiyah, serta golongan yang tidak meragui kewajipan amar ma'ruf dan nahi munkar pun turut sama terperangkap dan melihat PAS dengan penuh jelek umpama melihat ke arah 'almari yang berdebu' itu tadi.


Hakikatnya, PAS tidaklah 'secomot' yang disangkakan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memberi peluang untuk debu itu dibersihkan dan sedikit demi sedikit melihat kecantikan almari tersebut yang selama ini terhalang.


Terperangkap!

Jika persepsi terhadap PAS sebagai 'almari yang comot' itu terbina setelah usaha membersihakn debu itu sudah dibuat namun masih lagi dilihat 'kecomotan' pada almari itu, mungkin saya boleh menerima dan akur dengan keadaan itu.


Maksudnya, walaupun kita sudah mengenali PAS daripada sumber first-hand termasuklah penjelasan dan penerangan daripada orang-orang PAS sendiri khususnya pimpinan PAS namun kita masih tidak yakin dengan PAS sebagai gerakan da'wah dan tarbiyah; tiada apa yang boleh saya katakan.


Namun, jika persepsi yang negatif terhadap PAS itu terbina dalam diri hasil daripada dengar-dengar daripada sumber kedua, ketiga, dan seterusnya; maka kita perlu berlaku adil serta memberi ruang dan peluang kepada diri kita sendiri untuk mengenali dan menilai PAS daripada sumber yang pertama.


Saya akui, sukar untuk mendapatkan sumber pertama itu. Iyalah, di manalah kita hendak mencari pimpinan mahupun ahli PAS terutamanya di UK ini? Lebih-lebih lagi, sebagai pelajar kita ditakut-takutkan dengan AUKU, lantas menjadikan kita kurang cenderung untuk berbicara mengenainya.


Atas sebab itulah di awal penulisan ini, saya mengajak anda semua untuk tidak melihat PAS itu sebagai entiti politik tetapi sebuah gerakan Islam yang sama sahaja dengan gerakan Islam lain di seluruh dunia yang ingin mendaulatkan Islam di tanah air masing-masing; umpama Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, HAMAS di Palestin, dan sebagainya.


Akhirnya, kerana kekurangan akses kepada pimpinan mahupun ahli PAS serta kurang terdedah dengan PAS walaupun sumber maklumatnya banyak di media massa, telah menjadikan ramai antara kita terperangkap dengan persepsi negatif yang terbentuk hasil analisa dan penilaian dari sumber kedua, ketiga, dan seterusnya (bukan sumber pertama).


Pelancaran PRC

Alhamdulillah 'ala kulli hal, dengan pelancaran PRC baru-baru ini saya melihat ruang atau akses untuk mengenali dan memahami dasar serta perjuangan PAS menjadi lebih terbuka buat kita semua.


Jika sebelum ini kita mendengar tentang PAS itu begitu dan begini dari sumber yang pelbagai dan seakan-akan berkonotasi negatif, kini kita boleh bertanya apa sahaja untuk mendapatkan kepastian daripada wakil-wakil PAS yang dilantik untuk menganggotai PRC tersebut.


Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.


Contohnya, jika kita merasakan tindakan PAS tidak patut kerana bekerjasama dengan bukan Islam dalam nak menegakkan Islam; maka bertanyalah.


Ataupun, jika kita mendengar orang mengatakan yang PAS itu 'tidak mementingkan tarbiyah' dan 'terlalu politik' sehingga pemahaman masyarakat terhadap Islam yang sebenar terabai; maka bertanyalah.


Ataupun, jika kita melihat (perlu diteliti apa sumber kita juga, apakah sumber pertama?) ada akhlak ahli PAS yang tidak selari dengan akhlak Islamiyyah; maka bertanyalah dan tegurlah.


Ataupun, jika kita ada cadangan yang sangat bagus yang dirasakan patut dan wajib diimplementasikan oleh PAS untuk menjadikan misi menegakkan Islam di tanah air lebih hebat; maka sampaikanlah.


Moga kita terhindar daripada menjadi golongan yang zalim kerana serkap jarang kita. Nau'zubillah min zalik.


Menjadi Golongan Yang Berfikir : Kitalah Harapan Agama dan Negara

Sebagai golongan yang terpelajar yang dengan izin Allah jua berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, kita diletakkan ekspektasi yang tinggi oleh masyarakat kita. Kita diharap untuk menjadi lebih kritikal yakni mampu menganalisa sesuatu input dengan berhikmah sebelum menatijahkan apa-apa tindakan atau keputusan.


Adalah mengecewakan jika kita hanya menjadi 'pak turut' dan cepat menghukum tanpa mampu membuat penilaian yang adil dan sewajarnya apabila dihadapkan dengan input-input yang mencabar batas kebiasaan kita.


Apabila menerima sesuatu input, kita harus berusaha untuk memahami dan yang utama sekali memastikan kesahihan kepada sumber input tersebut sebelum membuat analisa yang lebih mendalam. Bukan sekadar disebabkan rasa hormat kita kepada orang yang menyampaikan input itu lalu kita mudah untuk terus percaya bahawa perkara yang disampaikan itu benar dan tiada keraguan lagi padanya.


Sebagai Permulaan

Selama ini kita mendengar begitu dan begini tentang PAS, namun setelah diteliti, sumber yang kita dengar itu bukanlah dari mulut ahli mahupun pimpinan PAS sendiri.


Secara peribadi saya merasakan ucaptama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa pelancaran PRC baru-baru ini boleh diambil sebagai sumber pertama untuk kita menilai semula persepsi kita terhadap PAS; sama ada tepat atau tidak.


Oleh itu, saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama meluangkan barang sekejap cuma untuk menonton video ucaptama tersebut yang dimuatnaik ke Youtube dan dikongsikan dengan aktifnya di Facebook.


Berikut adalah senarai link kepada video-video yang dimaksudkan:

Part 1 - [http://www.youtube.com/watch?v=tBEq2xJc0I8] (4:31)

Part 2 - [http://www.youtube.com/watch?v=Lpsff28DYSw] (13:43)

Part 3 - [http://www.youtube.com/watch?v=w8D0wXhf1FI] (10:58)

Part 4 - [http://www.youtube.com/watch?v=3OxbdnyICAE] (14:15)

Part 5 - [http://www.youtube.com/watch?v=JasUJHh_iEc] (13:52)


Hasil Dapatan Saya

Seperti yang saya tuliskan di awal-awal tadi, melalui video tersebut, banyak info yang dikongsikan merupakan sesuatu yang baru buat saya. Sebahagian yang boleh saya kongsikan di sini antaranya:


1. Tiada pemisahan antara politik dan da'wah. Al-Quran menceritakan bagaimanaperanan para rasul sama ada menjadi ketua negara (seperti Daud, Sulaiman, Muhammad) ataupun menjadi ketua pembangkang di zaman masing-masing (seperti Musa berhadapan dengan Firaun). Inilah PERJUANGAN nabi-nabi dan rasul-rasul Allah.


2. Matlamat perjuangan Islam bukan nak berkuasa tetapimengkehendaki Islam itu memerintah dan berdaulah. Walaupun Rasulullah ditawarkan kuasa di Mekah, namun baginda menolak kerana Islam memerintah tidak diizinkan oleh musyrikin Mekah.


3. Penceritaan sejarah kesinambungan da'wah para anbiya hingga ke Rasulullah, diikuti dengan zaman khulafa' ar-rasyidin dan seterusnya sehingga ke hari ini di tanah air kita secara ringkas.


4. Dalam lipatan sejarah, kejatuhan orang Islam adalah disebabkan umat Islam meninggalkan ajaran Islam manakala kejatuhan sistem bukan Islam kerana kekurangan yang ada pada sistem tersebut.


5. Penceritaan sejarah asal-usul perjuangan ulama' di tanah air semenjak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di mana para ulama' dari dahulu lagi telah berjihad menentang penjajah demi memastikan kedaulatan Islam terpelihara.

  • Semenjak penjajahan Portugis ke atas Melaka (yang merupakan pusat pemerintahan Islam di rantau Asia Tenggara) pada 1511, ulama' di seantero Alam Melayu bersatu dan berjuang menentang penjajah.
  • Atas tujuan untuk berjihad melawan penjajahlah, maka ulama' dari Banjar, Minangkabau, Jawa, serta Bugis datang ke Tanah Melayu (mungkin selama ini kita tertanya-tanya asal-usul suku kaum ini di Tanah Melayu) - namun perkara ini tidak diceritakan dalam silibus Sejarah
  • Bagi menentang Syarikat Hindia British/Belanda, kumpulan Islam menubuhkan Partai Syarikat Islam di Indonesia (1908) dan cawangan-cawangannya di Tanah Melayu (e.g. Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu) - dan di Basrah pada 1924
  • Ini menunjukkan pergerakan Islam secara ilmu dan ke peringkat politik, dll telah wujud di rantau kita lebih awal daripada negeri Arab sendiri (kerana Arab jatuh kemudian) - termasuklah penubuhan Ikhwanul Muslimin yang lebih terkemudian pada 1928, Jamaat Islami di India pada 1938, manakala penubuhan PAS pada 1951
  • Namun penubuhan PAS pada 1951 hanyalah berlaku setelah Syarikat Islam diharamkan pada 1924, kemudian ditubuhkan pula Hizbul Muslimin pada 1940-an yang kemudiannya diharamkan juga

6. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Razak telah membawa PAS untuk membentuk kerajaan campuran. Dalam kerjasama ini, PAS telah meletakkan syarat untuk melaksanakan Islam dalam institusi kerajaan dan syarat itu diterima oleh Tun Razak. Hasil penglibatan PAS dalam kerajaan pada ketika itu dengan izin Allah menghasilkan:

  • Penghapusan iklan judi di televisyen dan radio
  • Azan dikumandangkan di televisyen dan radio pada setiap kali waktu sembahyang
  • Dihapuskan arak dalam jamuan negara (disediakan sudut berasingan kepada pimpinan bukan Islam yang ingin meminumnya)
  • Dll.

7. Kerjasama antara PAS dengan bukan Islam telah memecahkan tembokantara kita, umat Islam dengan golongan bukan Islam melalui dialog-dialog yang diadakan. Sehingga ke suatu tahap, terdapat golongan bukan Islam ini yang ingin menyertai PAS namun menurut perlembagaan PAS, hanya orang Islam yang boleh menyertai PAS.

  • PAS telah mengadakan satu muzakarah dengan rakan-rakan gerakan Islam bertempat di Leceister, England pada pertengahan tahun 1990-an
  • Antara yang hadir ialah Syeikh Qardhawi, Qadhi Hussin Ahmad (Tunisia), dll.
  • Muzakarah ini membincangkan khusus untuk situasi di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk; apakah boleh untuk PAS menerima orang bukan Islam menjadi ahli dan bertanding dalam pilihanraya
  • Setelah muzakarah dan kajian nas-nas, diputuskan bahawa PAS boleh menarik orang bukan Islam untuk menjadi ahli
  • Namun, mereka bukanlah ahli biasa tetapi dirujuk oleh kitab fiqh sebagai ahli zimmah di mana ahli itu diberi jaminan oleh orang Islam dan mereka tidak boleh membuat dasar/polisi tetapi perlu menerima dan mengikuti dasar/polisi Islam
  • Akhirnya, Dewan Himpunan Penyokong PAS ditubuhkan


Penutup

Akhir kata, jazakumullahu khairan katsira dan terima kasih yang tak terhingga kepada anda yang sudi membaca tulisan picisan ini sehingga ke akhirnya dengan penuh teliti dan penghayatan.


Saya amat menggalakkan anda semua untuk meluangkan sedikit masa untuk menonton video yang dikongsikan di atas untuk berlaku adil dalam menunaikan hak terhadap para ulama' yang sekian lama berjuang mengakkan Islam (sebelum PAS tertubuh lagi) bagi mengimbangi persepsi kita yang mungkin kurang tepat selama ini.


Saya bukan anggota PRC mahupun ahli PAS dan PAS juga tidak membayar saya untuk menulis semua ini. Penulisan ini tercetus setelah mendengar sendiri dari sumber pertama tentang PAS dan saya berpendapat adalah sangat relevan untuk dikongsikan memandangkan acara tersebut berlaku di bumi UK yang sangat dekat dengan kita semua.


Sekali lagi, tulisan ini bukan satu bentuk dakyah politik tetapi jika anda (terutamanya yang ingin memerangkap saya dan pelajar lain dengan AUKU) meneliti dan memahami apa yang saya tuliskan; PAS yang saya sebutkan di sini bukanlah dari konteks politik kepartian di Malaysia tetapi PAS sebagai gerakan Islam dalam menunaikan kewajipan amar ma'ruf nahi munkar seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Sila betulkan andai saya tersalah dan moga Allah ampunkan kesilapan saya dalam perkongsian ini.


Allahu'alam.


Maklumat tambahan:

Website PRC - [http://wakilpas.com/main/]

PRC di Facebook - [http://www.facebook.com/permalink.php?id=758963397&story_fbid=162478357131184&ref=notif&notif_t=mention#!/pages/Pas-Representative-Council-of-Uk-Eire/166704640037249]

4 pEsAnAN:

aKmA said...

Ketika cuti musim sejuk beberapa minggu yang lepas, saya sempat menghadirkan diri ke Majlis Perasmian PAS Representative Council di Manchester walaupun baru sahaja habis FUIYO pada sebelah petangnya. Sesampai sahaja di Manchester dari Clithroe, Lancashire bersama kontinjen FUIYO yang lain, ada antara kami menyambung mendengar ceramah dari Tuan Presiden PAS sendiri, Ustaz Hadi. Alhamdulillah dengan izin Allah, pertama kalinya bertemu ulama' hebat di depan mata.

Tertulis di atas adalah tulisan tangan sahabat saya, Syafiqah Sulaiman(orang Sarawak juga) yang sedang menuntut di University of Bath tentang Parti Islam SeMalaysia hasil dari tontonan video beliau sekitar majlis perasmian tersebut.Walaupun agak panjang tapi berbaloi!Mari membersih debu di almari sendiri. :)

Afham said...

Satu ulasan yang sungguh jitu dan kemas.

Tahniah. Semoga orang lebih memandang elok ke arah perjuangan PAS.

Anonymous said...

informatif dan matang..

teruskan menulis camni

aKmA said...

@afham:benar, sangat kemas penulisan beliau. sudah tiba masanya yang memandang tak elok, pandang sekali lagi. siapa lagi yang mahu menyokong dan mendokong PAS dalam menentang kezaliman di Malaysia kalau bukan orang Islam itu sendiri. Takut andai ada yang mahukan Islam juga menentang perjuangan PAS. Semoga tsabat hendaknya. Ameen.

@anon:kalau ada kesempatan nanti ana sampaikan kepada beliau.