Sekadar simpanan untuk masa hadapan. Boleh jenguk-jenguk kisah ini andai terlari dari landasan. Oh sekarang pon, agak lemah. Terima kasih Kak Dayang kerana tolong ingatkan.
Sebuah Dialog di Malam Hari, Buat Insan Bernama Dai’e
“Akhi, dulu ana merasa semangat saat-saat aktif dalam dakwah. Tapi, kebelakangan ini rasanya semakin terasa hambar. Ukhuwah makin kering-kontang, bahkan ana melihat ternyata banyak ikhwah pula yang aneh dan pelik!”
Begitu keluh kesah seorang mad’u kepada murabbinya di suatu malam. Sang murabbi hanya terdiam, mencuba terus menggali semua kegelisahan dalam diri mad’unya.
“Lalu apa yang ingin anta lakukan setelah merasakan semua itu?” Sahut sang murrabi setelah sesaat termenung seketika.
“Ana ingin berhenti saja, keluar dari tarbiyah ini. Ana kecewa dengan perilaku dan sikap beberapa ikhwah yang tidak Islami. Juga dengan organisasi dakwah yang ana geluti; kaku dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Jika terus begini, lebih baik ana bersendiri saja.” Ikhwah itu berkata.
Sang murabbi termenung kembali. Tidak kelihatan raut terkejut daripada wajahnya. Sorot matanya tetap kelihatan tenang, seakan jawapan itu memang sudah diketahuinya sejak awal.
“Akhi, bila satu kali anta naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Kapal itu ternyata sudah rosak. Layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang reput, bahkan kabinnya penuh dengan sampah bauan kotoran akibat manusia. Lalu apa yang anta lakukan untuk tetap sampai pada tujuan?” Tanya seorang murabbi dengan kiasan yang mendalam maknanya.
Sang mad’u terdiam berfikir. Tak kuasa hatinya mendapat umpan balik sedemikian tajam dengan kiasan yang amat tepat.
“Apakah anta memilih untuk terjun ke laut dan berenang sampai tujuan?” Sang murabbi mencuba memberi jawapan kepadanya.
“Bila anta terjun ke laut, sesaat anta akan merasa senang. Bebas dari bau kotoran manusia, merasakan kesegaran air laut, atau bebas bermain dengan lumba-lumba. Tapi itu hanya sesaat. Berapa kekuatan anta untuk berenang sampai tujuan? Bagaimana bila ribut datang? Dari mana anta mendapat makan dan minum? Bila malam datang bagaimana anta mengatasi hawa dingin?”
Serentetan pertanyaan dihamparkan di hadapan sang ikhwah tersebut. Tidak semena-mena, sang ikhwah menangis tersedu-sedu. Tak kuasa hatinya menahan kegundahan sedemikian. Kekecewaannya kekadang memuncak, namun sang murabbi yang dihormatinya justeru tidak memberi jalan keluar yang sesuai dengan keinginannya.
“Akhi, apakah anta masih merasa bahawa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju redha ALLAH SWT?”
Pertanyaan yang menghujam jiwa sang ikhwah. Ia hanya mengangguk.
“Bagaimana bila ternyata kereta yang anta bawa dalam menempuh jalan itu ternyata rosak dan bermasalah? Anta akan berjalan kaki meninggalkan kereta itu tersadai di tepi jalan atau mencuba memperbaikinya?” Tanya sang murabbi lagi.
Sang ikhwah tetap terdiam dalam esakan tangis perlahannya. Tiba-tiba ia mengangkat tangannya.
“Cukup akhi, cukup. Ana sedar. Maafkan ana, InsyaALLAH ana akan tetap istiqamah. Ana berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan atau agar setiap kata-kata ana diperhatikan. Atau ana mendapat nama di sisi manusia. Biarlah yang lain dengan urusan peribadi masing-masing. Biarlah ana tetap berjalan dalam dakwah dan hanya Allah swt sahaja yang akan membahagiakan ana kelak dengan janji-janji- NYA. Biarlah segala kepedihan yang ana rasakan jadi pelebur dosa-dosa ana.”
Sang mad’u berazam di hadapan sang murabbi yang semakin dihormatinya. Sang murabbi tersenyum.
“Akhi, jama’ah ini adalah jama’ah manusia. Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Tapi di sebalik kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki. Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruan Allah untuk berdakwah. Dengan begitu mereka sedang berproses menjadi manusia terbaik pilihan ALLAH SWT.”
“Bila ada satu dua kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu meresahkan perasaan anta. Sebagaimana ALLAH SWT menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuslah kesalahan mereka di mata anta dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini. Kerena di mata ALLAH SWT, belum tentu antum lebih baik dari mereka.”
“Futur, mundur lemah atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang masuk akal. Apabila setiap ketidak kesepakatan selalu diselesaikan dengan jalan itu; maka apakah dakwah ini dapat berjalan dengan baik?” Sambungnya panjang lebar.
“Kita bukan sekadar pemerhati yang hanya berkomentar. Atau hanya pandai menuding-nuding jari kerana sesuatu kesalahan. Kalau hanya itu, orang kafir pun boleh melakukannya. Tapi kita adalah dai’e. Kita adalah khalifah. Kitalah yang diberi amanat oleh Allah swt untuk menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi. Bukan hanya membongkarnya, yang menjadikan ia semakin meruncing dan membarah.”
Sang mad’u termenung sampai merenungi setiap kalimat murabbinya. Azamnya kembali menguat. Namun ada satu hal yang tetap bergelayut di hatinya.
“Tapi bagaimana ana boleh memperbaiki organisasi dakwah dengan kemampuan ana yang lemah ini?”
Sebuah pertanyaan konstruktif akhirnya muncul juga.
“Siapa kata kemampuan anta lemah? Apakah Allah swt menjadikan begitu kepada anta? Semua manusia punya potensi yang berbeza. Namun tak ada yang mampu melihat bahawa yang satu lebih baik dari yang lain!” Sahut sang murabbi.
“Bekerjalah dengan ikhlas. Berilah kerjasama dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang pada semua ikhwah yang terlibat dalam organisasi itu kerana peringatan selalu berguna bagi orang yang beriman. Bila ada sebuah isu atau fitnah, tutuplah telinga anta dan bertaubatlah. Singkirkan segala prasangka anta terhadap saudara anta sendiri.”
Malam itu sang mad’u menyedari kesalahannya. Ia bertekad untuk tetap hidup bersama jama’ah untuk tetap mengharungi jalan dakwah dan tarbiyah. Kembalikan semangat itu saudaraku, jangan biarkan putus asa itu hilang, ditelan gersangnya debu yang menerpa. Biarlah itu semua menjadi saksi sampai kita diberi dua kebaikan oleh ALLAH SWT:Kemenangan atau Mati Syahid.
Ikhlas adalah roh daripada setiap amal. Ikhlas adalah motivasi yang kuat agar amal kita tetap terjaga sentiasa, tidak usang kerana kepanasan dan tidak luntur kerana kehujanan, tidak ghurur kerana pujian dan tidak kendur kerana cacian. Terus bergerak ke arah tujuan yang paling tinggi puncak dan cita-citanya. Peliharalah keikhlasan dalam bekerja. Semoga kita sama-sama terus istiqamah dalam dakwah dan tarbiyyah.
"Dan (ingatlah) pada hari (ketika) orang-orang zalim menggigit dua jarinya, (menyesali perbuatannya) seraya berkata, "Wahai! Sekiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama Rasul. Wahai, celaka aku! Sekiranya (dulu) aku tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku), sungguh, dia telah menyesatkan aku dari peringatan (Al-Quran) ketika (Al-Quran) itu telah datang kepadaku. Dan setan memang pengkhianat manusia."
[al-Furqan: 27-29]
Moga kita saling menguatkan, bukan menjatuhkan antara satu sama lain. Saling mendoakan, bukan menyengsarakan. insyaAllah, wehdatul fikr, wehdatul amal, wehdatul qalb.
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."
[as-Saff: 3]
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillah, saya baru selesai menghabistontonkan video ucaptama pelancaran PAS Representative Council UK-Eire (PRC) di YouTube. Selepas selesai menonton, banyak rupanya sejarah silam tentang perjuangan menegakkan Islam di Tanah Melayu semenjak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah di mana kita berada sekarang selepas kemerdekaan negara; yang saya tidak ketahui dan tidak pernah dengar pun sebelum ini.
Pertama sekali, saya harap tulisan ini tidak ditafsirkan sebagai satu bentuk diskusi politik kepartian di Malaysia namun saya ingin mengajak anda semua untuk melihat atau sekurang-kurangnya mendapat gambaran tentang susur-galur perjuangan menegakkan Islam di Tanah Melayu dan Malaysia.
Apabila kita ingin membicarakan tentang susur-galur perjuangan ini, kita tidak dapat lari daripada satu entiti da'wah dan tarbiyyah yang acapkali dilihat semata-mata sebagai sebuah entiti politik iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Hakikatnya, PAS itu adalah sebuah gerakan Islam yang matlamat perjuangannya untuk menjadikan Islam itu memerintah.
PAS bukan semata-mata berorientasikan gerakan politik sebaliknya diseimbangkan dengan gerakan tarbiyyah untuk membina aqidah yang benar, pemikiran Islam yang jelas dan syakhsiyah yang soleh serta gerakan dakwahuntuk menyedarkan ummah agar kembali mengabdikan diri kepada Allah swt.
Saya harap bermula daripada titik ini dan seterusnya, anda yang membaca dapat melakukan sedikit anjakan paradigma (i.e. mengubah cara melihat sesuatu) dengan melihat PAS ini sebagai sebuah gerakan Islam yang perjuangannya telah bermula lama sebelum merdeka lagi.
Membuang Debu Di Atas Almari
Kalau boleh saya umpamakan, penulisan ini berhasrat untuk 'membuang debu-debu' yang selama ini tidak dipedulikan di atas almari. Jika dibiarkan, lama-kelamaan, debu-debu ini semakin menebal dan almari yang sebenarnya cantik kelihatan 'comot'.
Ramai orang termasuk diri saya sendiri telah berlaku tidak adil (i.e. tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya) apabila menyebut tentang PAS. Ramai orang termasuk saya sendiri telah melihat PAS sebagai almari yang berdebu itu. Tak perlulah saya senaraikan di sini apa bentuk tohmahan dan persepsi negatif yang diberikan kepada PAS. Masing-masing sudah maklum tentangnya.
Secara peribadi, saya tidak hairan jika yang melihat PAS sebagai 'almari yang berdebu' ini datang daripada golongan yang menentang perjuangan Islam atau golongan yang merasakan Islam itu hanya membawa kemunduran. Itu sudah lumrah; sunnatullah kepada da'wah zaman-berzaman, dari Nabi Nuh a.s hingga sekarang, pasti ada penentangan.
Apa yang menimbulkan kegusaran kepada saya (sekali lagi, secara peribadi) ialah apabila golongan yang inginkan Islam menang dan memerintah, golongan yang faham erti da'wah dan tarbiyah, serta golongan yang tidak meragui kewajipan amar ma'ruf dan nahi munkar pun turut sama terperangkap dan melihat PAS dengan penuh jelek umpama melihat ke arah 'almari yang berdebu' itu tadi.
Hakikatnya, PAS tidaklah 'secomot' yang disangkakan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memberi peluang untuk debu itu dibersihkan dan sedikit demi sedikit melihat kecantikan almari tersebut yang selama ini terhalang.
Terperangkap!
Jika persepsi terhadap PAS sebagai 'almari yang comot' itu terbina setelah usaha membersihakn debu itu sudah dibuat namun masih lagi dilihat 'kecomotan' pada almari itu, mungkin saya boleh menerima dan akur dengan keadaan itu.
Maksudnya, walaupun kita sudah mengenali PAS daripada sumber first-hand termasuklah penjelasan dan penerangan daripada orang-orang PAS sendiri khususnya pimpinan PAS namun kita masih tidak yakin dengan PAS sebagai gerakan da'wah dan tarbiyah; tiada apa yang boleh saya katakan.
Namun, jika persepsi yang negatif terhadap PAS itu terbina dalam diri hasil daripada dengar-dengar daripada sumber kedua, ketiga, dan seterusnya; maka kita perlu berlaku adil serta memberi ruang dan peluang kepada diri kita sendiri untuk mengenali dan menilai PAS daripada sumber yang pertama.
Saya akui, sukar untuk mendapatkan sumber pertama itu. Iyalah, di manalah kita hendak mencari pimpinan mahupun ahli PAS terutamanya di UK ini? Lebih-lebih lagi, sebagai pelajar kita ditakut-takutkan dengan AUKU, lantas menjadikan kita kurang cenderung untuk berbicara mengenainya.
Atas sebab itulah di awal penulisan ini, saya mengajak anda semua untuk tidak melihat PAS itu sebagai entiti politik tetapi sebuah gerakan Islam yang sama sahaja dengan gerakan Islam lain di seluruh dunia yang ingin mendaulatkan Islam di tanah air masing-masing; umpama Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, HAMAS di Palestin, dan sebagainya.
Akhirnya, kerana kekurangan akses kepada pimpinan mahupun ahli PAS serta kurang terdedah dengan PAS walaupun sumber maklumatnya banyak di media massa, telah menjadikan ramai antara kita terperangkap dengan persepsi negatif yang terbentuk hasil analisa dan penilaian dari sumber kedua, ketiga, dan seterusnya (bukan sumber pertama).
Pelancaran PRC
Alhamdulillah 'ala kulli hal, dengan pelancaran PRC baru-baru ini saya melihat ruang atau akses untuk mengenali dan memahami dasar serta perjuangan PAS menjadi lebih terbuka buat kita semua.
Jika sebelum ini kita mendengar tentang PAS itu begitu dan begini dari sumber yang pelbagai dan seakan-akan berkonotasi negatif, kini kita boleh bertanya apa sahaja untuk mendapatkan kepastian daripada wakil-wakil PAS yang dilantik untuk menganggotai PRC tersebut.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Contohnya, jika kita merasakan tindakan PAS tidak patut kerana bekerjasama dengan bukan Islam dalam nak menegakkan Islam; maka bertanyalah.
Ataupun, jika kita mendengar orang mengatakan yang PAS itu 'tidak mementingkan tarbiyah' dan 'terlalu politik' sehingga pemahaman masyarakat terhadap Islam yang sebenar terabai; maka bertanyalah.
Ataupun, jika kita melihat (perlu diteliti apa sumber kita juga, apakah sumber pertama?) ada akhlak ahli PAS yang tidak selari dengan akhlak Islamiyyah; maka bertanyalah dan tegurlah.
Ataupun, jika kita ada cadangan yang sangat bagus yang dirasakan patut dan wajib diimplementasikan oleh PAS untuk menjadikan misi menegakkan Islam di tanah air lebih hebat; maka sampaikanlah.
Moga kita terhindar daripada menjadi golongan yang zalim kerana serkap jarang kita. Nau'zubillah min zalik.
Menjadi Golongan Yang Berfikir : Kitalah Harapan Agama dan Negara
Sebagai golongan yang terpelajar yang dengan izin Allah jua berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, kita diletakkan ekspektasi yang tinggi oleh masyarakat kita. Kita diharap untuk menjadi lebih kritikal yakni mampu menganalisa sesuatu input dengan berhikmah sebelum menatijahkan apa-apa tindakan atau keputusan.
Adalah mengecewakan jika kita hanya menjadi 'pak turut' dan cepat menghukum tanpa mampu membuat penilaian yang adil dan sewajarnya apabila dihadapkan dengan input-input yang mencabar batas kebiasaan kita.
Apabila menerima sesuatu input, kita harus berusaha untuk memahami dan yang utama sekali memastikan kesahihan kepada sumber input tersebut sebelum membuat analisa yang lebih mendalam. Bukan sekadar disebabkan rasa hormat kita kepada orang yang menyampaikan input itu lalu kita mudah untuk terus percaya bahawa perkara yang disampaikan itu benar dan tiada keraguan lagi padanya.
Sebagai Permulaan
Selama ini kita mendengar begitu dan begini tentang PAS, namun setelah diteliti, sumber yang kita dengar itu bukanlah dari mulut ahli mahupun pimpinan PAS sendiri.
Secara peribadi saya merasakan ucaptama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa pelancaran PRC baru-baru ini boleh diambil sebagai sumber pertama untuk kita menilai semula persepsi kita terhadap PAS; sama ada tepat atau tidak.
Oleh itu, saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama meluangkan barang sekejap cuma untuk menonton video ucaptama tersebut yang dimuatnaik ke Youtube dan dikongsikan dengan aktifnya di Facebook.
Berikut adalah senarai link kepada video-video yang dimaksudkan:
Part 1 - [http://www.youtube.com/watch?v=tBEq2xJc0I8] (4:31)
Part 2 - [http://www.youtube.com/watch?v=Lpsff28DYSw] (13:43)
Part 3 - [http://www.youtube.com/watch?v=w8D0wXhf1FI] (10:58)
Part 4 - [http://www.youtube.com/watch?v=3OxbdnyICAE] (14:15)
Part 5 - [http://www.youtube.com/watch?v=JasUJHh_iEc] (13:52)
Hasil Dapatan Saya
Seperti yang saya tuliskan di awal-awal tadi, melalui video tersebut, banyak info yang dikongsikan merupakan sesuatu yang baru buat saya. Sebahagian yang boleh saya kongsikan di sini antaranya:
1. Tiada pemisahan antara politik dan da'wah. Al-Quran menceritakan bagaimanaperanan para rasul sama ada menjadi ketua negara (seperti Daud, Sulaiman, Muhammad) ataupun menjadi ketua pembangkang di zaman masing-masing (seperti Musa berhadapan dengan Firaun). Inilah PERJUANGAN nabi-nabi dan rasul-rasul Allah.
2. Matlamat perjuangan Islam bukan nak berkuasa tetapimengkehendaki Islam itu memerintah dan berdaulah. Walaupun Rasulullah ditawarkan kuasa di Mekah, namun baginda menolak kerana Islam memerintah tidak diizinkan oleh musyrikin Mekah.
3. Penceritaan sejarah kesinambungan da'wah para anbiya hingga ke Rasulullah, diikuti dengan zaman khulafa' ar-rasyidin dan seterusnya sehingga ke hari ini di tanah air kita secara ringkas.
4. Dalam lipatan sejarah, kejatuhan orang Islam adalah disebabkan umat Islam meninggalkan ajaran Islam manakala kejatuhan sistem bukan Islam kerana kekurangan yang ada pada sistem tersebut.
5. Penceritaan sejarah asal-usul perjuangan ulama' di tanah air semenjak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di mana para ulama' dari dahulu lagi telah berjihad menentang penjajah demi memastikan kedaulatan Islam terpelihara.
Penutup
Akhir kata, jazakumullahu khairan katsira dan terima kasih yang tak terhingga kepada anda yang sudi membaca tulisan picisan ini sehingga ke akhirnya dengan penuh teliti dan penghayatan.
Saya amat menggalakkan anda semua untuk meluangkan sedikit masa untuk menonton video yang dikongsikan di atas untuk berlaku adil dalam menunaikan hak terhadap para ulama' yang sekian lama berjuang mengakkan Islam (sebelum PAS tertubuh lagi) bagi mengimbangi persepsi kita yang mungkin kurang tepat selama ini.
Saya bukan anggota PRC mahupun ahli PAS dan PAS juga tidak membayar saya untuk menulis semua ini. Penulisan ini tercetus setelah mendengar sendiri dari sumber pertama tentang PAS dan saya berpendapat adalah sangat relevan untuk dikongsikan memandangkan acara tersebut berlaku di bumi UK yang sangat dekat dengan kita semua.
Sekali lagi, tulisan ini bukan satu bentuk dakyah politik tetapi jika anda (terutamanya yang ingin memerangkap saya dan pelajar lain dengan AUKU) meneliti dan memahami apa yang saya tuliskan; PAS yang saya sebutkan di sini bukanlah dari konteks politik kepartian di Malaysia tetapi PAS sebagai gerakan Islam dalam menunaikan kewajipan amar ma'ruf nahi munkar seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
Sila betulkan andai saya tersalah dan moga Allah ampunkan kesilapan saya dalam perkongsian ini.
Allahu'alam.
Maklumat tambahan:
Website PRC - [http://wakilpas.com/main/]
PRC di Facebook - [http://www.facebook.com/permalink.php?id=758963397&story_fbid=162478357131184&ref=notif¬if_t=mention#!/pages/Pas-Representative-Council-of-Uk-Eire/166704640037249]